KUALA KANGSAR: Datuk Seri Najib Razak lebih banyak berbakti kepada masyarakat India jika dibandingkan dengan 22 tahun pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MUIP) Tan Sri S Nallakaruppan.
Ditemui pemberita seusai lawatan rumah ke rumah di Taman Bunga Raya, rakan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yakin masyarakat India di Kuala Kangsar akan ‘menjaga Najib’ dan kembali ke pangkuan BN.
“Pemimpin ini (Najib) antara pemimpin yang banyak menyumbang. Najib menyokong penuh masyarakat India.
“Selama 22 tahun mentadbir negara, golongan India tidak mengharapkan apa-apa terhadap Mahathir, dan dia juga tidak melakukan apa-apa kepada golongan India. Inilah yang mereka beritahu saya di sini,” katanya.
Membentuk 7.3% penduduk Malaysia, masyarakat India dianggap antara kaum minoriti yang miskin dan dipinggirkan di negara ini.
Menjelang pilihan raya kecil Kuala Kangsar, Najib baru-baru ini dilaporkan telah meluluskan beberapa peruntukan khusus untuk masyarakat India, termasuk projek naik taraf tembok padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ghandi Memorial.
Malah dalam program sama, Najib berkata dirinya ditabalkan sebagai Bapa Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
Mengulas mengenai Mahathir, Nallakaruppan membidas tindakan bekas perdana menteri itu berkempen untuk parti pembangkang.
“Selepas 22 tahun menjadi PM dan menikmati pelbagai kelebihan, sekarang anda mahu menghentam BN. Apa ini?
“Anda cakap Pak Lah dan Najib tidak bagus. Sumbat Anwar dalam penjara, dan kini anda nak sokong dia. Mana prinsip anda?” katanya.
Nallakaruppan mula mendapat perhatian selepas terbabit dalam kes liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pernah menganggotai PKR pada 2006.
Beliau keluar PKR dan menubuhkan MUIP pada 2007 dan menjadi komponen BN. Beliau dilantik menjadi Senator pada 2011.
Apabila ditanya tentang Anwar, Nallakaruppan sentiasa menganggap Ketua Umum PKR sebagai sahabatnya, walaupun kini dalam pihak politik yang berbeza.
“Walaupun kini berbeza (pandangan) politik, persahabatan berkekalan. Dia tetap seorang kawan,” katanya lagi.
No comments: