Undi Awal di Kuala Kangsar

Seramai 312 orang anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mereka terlibat dalam pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Perak, esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dato’ Seri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan berkata, SPR akan membuka satu Pusat Mengundi yang terdiri daripada dua tempat mengundi (saluran) di Kuala Kangsar iaitu di Dewan Tun Salleh Ismail, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar dan Bilik Mesyuarat, Balai Polis Manong.

“Proses pengundian awal akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan petugas SPR dan dakwat pilihan raya akan digunakan dalam proses itu,” katanya.
Mohd Hashim berkata, proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya berkenaan.
“Di samping itu, Pemerhati Tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga boleh memerhati proses tersebut dengan kebenaran masuk ke pusat-pusat pengundian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Proses pengundian yang bermula 8 pagi akan ditutup sepenuhnya pada 5 petang.
Kertas-kertas undi akan disimpan di lokap-lokap polis dan hanya akan dikira pada 18 Jun ini, katanya.
PRK itu diadakan berikutan kematian ahli Parlimen Kuala Kangsar, Dato’ Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
Parlimen Kuala Kangsar merekodkan 32,949 pemilih dan pengundian akan diadakan pada 18 Jun ini, serentak dengan PRK Sungai Besar di Selangor.

No comments:

| Copyright © 2013 UMNO Terengganu Online